Aktor drama "Asmara", Shahrizal Jaszle yang mendakwa telah diperangkap oleh pihak tertentu nekad mencari bukti bagi membersihkan namanya selepas membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling atas tuduhan khalwat pada Selasa.
"Saya tidak akan mengaku kalah dengan menyatakan diri saya bersalah atas tuduhan itu kerana ia tidak benar.
"Saya sebenarnya sudah diperangkap dan kini sedang mengumpul bukti-bukti untuk meneruskan kes ini," ujarnya seperti dipetik dari Mstar.
Pemilik nama sebenar Shahrizal Jaszle Jasmin ini turut memberitahu dia dan peguamnya, Asyraf A. Ranee akan menghantar notis kepada mahkamah untuk meneliti semula kesnya.
Sementara itu pasangan khalwat Shahrizal, Farah Nurizzati Salleh, 21, yang merupakan seorang pegawai bank mengaku bersalah dan diperintah membayar denda RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar.
Shahrizal, 25, yang mengenali gadis tersebut selama tiga minggu bagaimanapun tidak terkejut dengan pengakuan Farah Nurizzati.
"Saya tak terkejut pun bila dia kata dia bersalah. Saya memang sudah jangka. Selama ini pun dia tak pernah kisah dengan kes ini. Saya tahu dia memang ada niat nak jatuhkan saya," kata Shahrizal seperti dipetik daripada laporan Malaysian Digest.
Shahrizal yang membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan hakim syarie, Abdul Halim Abu Samah kemudiannya diperintah membayar wang jaminan RM1,500 dan mahkamah menetapkan 21 Januari 2014 sebagai tarikh perbicaraan kesnya.
Pada 16 Mei lalu, Shahrizal dan Farah Nurizzati telah ditahan atas tuduhan khalwat di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 di Apartmen Taman Sri Subang kira-kira jam 3.30 pagi oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas menerima aduan orang ramai.
Akibat kejadian tersebut, hubungan Shahrizal dan tunangnya, Redzwani Puteri, 25, dilaporkan berantakan sehingga menyebabkan keluarga pihak perempuan membuat keputusan memutuskan ikatan pertunangan mereka sebelum menyambung semula pada Aidiladha lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan