Rabu, 13 November 2013

Karl Shafek nafi tiru imej Wan Doyok

Pengacara yang semakin dikenali, Karl Shafek menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia meniru atau menciplak gaya ikon fesyen popular, Wak Doyok
yang terkenal dengan imej misai melentik.
"Saya tak tiru atau ciplak imej Wak Doyok mahu pun Fairuz Ramdan. Ini merupakan trend fesyen yang sangat digemari pada masa kini. Lagipun mereka berdua merupakan teman baik saya," jelasnya ketika ditemui di sidang media "Masterchef Malaysia All Stars" di Berjaya Times Square semalam.
Pengacara yang popular dengan program televisyen "Diari On Air" kini dilihat tampil berbeza dan segak dengan imej berjambang.
"Imej ini sebenarnya merupakan eksperimen saya untuk program "Masterchef Malaysia All Stars". Sebelum ini saya mendapat maklum balas daripada orang ramai mengatakan imej begini sesuai dengan saya. Saya rasakan tiada masalah untuk saya mencuba imej begini kerana ia selari dengan arus fesyen semasa," ujarnya lagi.
Wak Doyok, 33, atau nama sebenarnya Tengku Muhammad Azwan Shah merupakan seorang pereka fesyen jenama The Garment yang mempunyai personaliti maskulin era Inggeris tahun 1960-an.
Dalam perkembangan lain, Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafe Ibrahim bakal kembali ke dapur Masterchef yang menghimpunkan semula 10 selebriti popular tanah air dan 10 peserta kegemaran program tersebut sebelum ini.
"Masterchef Malaysia All Stars" akan mula bersiaran pada 23 November ini pada setiap hari Sabtu hingga Selasa, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Maya HD (saluran 135).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan