KRU Studios merancang mahu menerbitkan filem "Black Hawk Down" versi Malaysia yang akan mengangkat dari sudut pandang tentera Malaysia yang terlibat dalam pertempuran yang berlaku 20 tahun lalu di Mogadishu, Somalia itu.
"Kita dalam usaha untuk mencari beberapa cerita yang berkaitan dengan patriotism tapi tak disampaikan dalam bentuk melo drama atau biografi. Untuk menimbulkan rasa keterujaan pada penonton tu jadi kita buat dalam bentuk aksi," Ujar Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim kepada Malaysian Digest.
Namun, Norman menegaskan hasrat pihaknya mahu menghasilkan filem itu bukan berniat untuk menyinggung tentera Amerika Syarikat atau mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa pertempuran itu.
"Saya rasa tak ada salahnya dan tak rasa pihak Amerika akan tersinggung kerana mereka juga telah membuat filem versi mereka. Kita pula akan menghasilkan filem tersebut dari kaca mata tentera Malaysia terutama yang menyertai pertempuran itu.
"Sebab kalau kita tengok filem versi Amerika, pastinya mereka menggambarkan wira-wira mereka sebagai pejuang sebenar. Kita bukan anti Amerika tapi kita nak menginterpretasikan peristiwa tersebut dalam bentuk pemahaman kita sekaligus menggambarkan wira-wira kita juga telah menyelamatkan Amerika."
Menurut Norman, filem tersebut masih lagi dalam peringkat perancangan dan penyelidikan, tetapi berkata skrip filem tersebut berkemungkinan akan mula dihasilkan pada hujung tahun ini.
Tambahnya lagi, pihaknya juga akan menghasilkan satu dokumentari khas mengenai filem itu terlebih dahulu sebelum filemnya memulakan penggambaran skitar tahun hadapan.
Bagaimanapun, Norman enggan mendedahkan siapakah yang bakal mengarah atau pelakon utama yang bakal membintangi filem itu kerana masih terlalu awal.
"Buat masa ini kita belum putuskan lagi siapa pelakon-pelakonnya. Malah kemungkinan bukan Yusry yang akan mengarahkan filem. Mungkin kita akan mendapatkan pengarah bukan orang Malaysia. Filem ini juga akan dipasarkan di peringkat antarabangsa."
Filem "Black Hawk Dawn" yang diarahkan oleh Ridley Scott diterbitkan pada 2001 di mana ia diangkat daripada sebuah buku tulisan Mark Bowden. Walaupun menerima beberapa anugerah, namun filem tersebut mendapat kritikan kerana beberapa fakta yang salah. Contohnya, tidak memaparkan sumbangan tentera antarabangsa yang berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu termasuk tentera Malaysia daripada Batalion ke-19 Askar Melayu Diraja.
Dalam operasi menyelamatkan tentera Amerika yang terperangkap di Pasar Baraaka, Korporal Mat Aznan Awang terbunuh selepas kereta perisai yang dipandunya ditembak dengan grenad pelancar roket, manakala sembilan tentera Malaysia turut tercedera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan