Isnin, 16 Februari 2015

Tomok berdebar tunggu kelahiran anak kedua

Oh World Duniaku.blogspot.com





JANTUNGNYA kini berdegup kencang tatkala isterinya, Siti Rahayu Abbas sedang menunggu masa untuk bersalin anak kedua. Walaupun ini bukan kelahiran pertama pasangan ini, debarannya tetap dirasai.


Bagi Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, pastinya saat ini merupakan fasa genting buat dirinya. Untuk menyambut kelahiran anak kedua, hatinya dipagut risau mengenangkan keadaan isteri dan anak yang bakal dilahirkan nanti.

“Mungkin saya sudah berpengalaman sebelum ini tetap pada fasa ini, saya mengharapkan isteri dan anak yang bakal dilahirkan bila-bila masa sahaja itu sihat dan tidak mengalami sebarang masalah.

“Segala-galanya telah saya sediakan sejak seminggu yang lalu. Barangan dan kelengkapan untuk isteri disiapkan terlebih dahulu. Nanti bila sudah selamat melahirkan taklah kelam kabut,” ujar Tomok tertawa.

Melalui perkahwinan pasangan ini pada 2 Julai 2011, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Arrian Shah Akid, 3.


Jelas vokalis kumpulan New Boyz ini lagi, dia gembira tatkala sudah mengetahui jantina anak sebelum ini. Memandangkan pasangan ini bakal menimang anak lelaki, segala keperluan disiapkan secara sederhana sahaja.

“Rasanya baju dan barang-barang Arrian masih ada yang elok dan boleh digunakan. Jadi tak perlulah untuk saya membeli segala kelengkapan baharu sebaliknya hanya yang perlu sahaja.

“Alhamdulillah... semuanya telah disediakan dan menunggu masa sahaja,” jelas Tomok yang kini dalam rangka promosi album Aku Datang.

Bagi Tomok, sejak kebelakangan ini dia jarang sekali mengambil persembahan di luar daerah biarpun mendapat banyak tawaran sebaliknya hanya memberikan tumpuan kepada persembahan di sekitar Kuala Lumpur.

Ini kerana pada fasa ini, dia enggan berjauhan dengan isterinya yang sarat mengandung dan berharap sentiasa ada bersama sehinggalah wanita tersebut selamat bersalin.

“Mungkin selepas isteri habis berpantang nanti barulah saya akan kembali aktif mengambil tawaran seperti biasa,” jelas lelaki yang berusia 31 tahun ini lagi.

Tuah Tomok

Mengakui kembara seninya semakin matang seiring usia, Tomok sebenarnya mampu menguntum senyuman tatkala menjadi antara penyanyi lelaki yang berani mengeluarkan album studio baharu.

Walaupun mengetahui jualan album fizikal semakin merosot, Tomok yakin setiap penyanyi perlu berani menerbitkan album sebagai portfolio dalam kerjaya seni mereka.

“Kalau diikutkan memang kebanyakan penyanyi tidak berani melaburkan sejumlah wang untuk menerbitkan album fizikal. Mereka lebih senang menumpukan kepada penjualan lagu secara atas talian yang menjadi trend dunia.

“Saya pula percaya kedua-dua medium ini masih ada pengikut dan jika kena gaya, album tersebut akan mendapat sambutan,” jelasnya.

Melalui album Aku Datang, antara lagu yang sudah dimainkan di radio termasuk Cinta Tak Pergi yang dinyanyikan secara duet bersama-sama Yana Samsuddin dan lagu Aku Datang yang menjadi runut bunyi untuk filem Istanbul Aku Datang.

Selain itu, Tomok juga mampu menarik nafas lega apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu runut bunyi untuk beberapa buah filem sebelum ini.

Selain lagu Aku Datang, Tomok juga pernah menyanyikan lagu Biarkan Sejoli yang menjadi runut bunyi filem Sejoli lakonan Remy Ishak, Bront Palarae, Izara Aishah dan Maya Karin pada tahun lalu.

Terbaru, dia menyanyikan lagu Tak Harus Memiliki yang dijadikan runut bunyi filem Isyarat Cinta yang akan ditayangkan kepada umum bermula 19 Mac depan.

“Saya melihat lagu runut bunyi sebagai satu tanggungjawab dan kepercayaan orang untuk ‘mencantikkan’ lagi sesebuah filem.

"Kalau dilihat memang peranan yang dimainkan oleh lagu runut bunyi banyak membantu sesebuah filem.

“Jika lagu tersebut sedap didengar dan popular, itu bakal menjadi daya penarik orang untuk ke panggung. Sebab itu saya berbesar hati diberikan kepercayaan ini,” jelasnya lagi.

Tak Harus Memiliki merupakan lagu ciptaan Gijie daripada kumpulan 6ixth Sense.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan