![]() |
Oh World Duniaku.blogspot.com |
Biarpun hubungan istimewa mereka sudah dihidu,
baik Shaheizy Sam mahupun Syatilla Melvin masih terus berteka-teki mengenai hubungan itu.
Tidak menafikan mereka bercinta apabila diajukan pertanyaan kepada Syatilla namun gadis itu mahu pihak lelaki yang memberi komen mengenainya.
Alasan Syatilla dia menghormati Shaheizy Sam dan keluarganya. Justeru baginya, adalah lebih manis seandainya penjelasan berkaitan hati dan perasaan itu datang dari mulut aktor tersebut.
“Saya tidak akan mengulas cerita hubungan kami . Tetapi saya akan mengiyakan apa saja yang Sam katakan,” begitu kata Syatilla.
Dan Shaheizy Sam yang mesra dipanggil Sam ketika dihubungi, tidak pula menolak untuk bercerita tentang hubungannya dengan aktres berusia 24 tahun itu.
Malah akui aktor berusia 33 tahun ini, Syatilla adalah teman wanita paling rapat dalam hidupnya kini dan selama lima tahun mengenali antara satu sama lain, dia selesa berkawan dengan aktres berkenaan.
Mengakui Syatilla mempunyai kriteria untuk dijadikan calon isteri namun kata Shaheizy Sam, masih terlalu awal untuk membayangkan gadis itu adalah jodoh terbaik buatnya.
“Saya tidak akan merendah-rendahkan wanita terutama dalam memilih calon isteri yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
“Sebab dalam soal mencari jodoh, saya perlu mendalami hati budi wanita berkenaan dan perlu tahu sama ada dia benar-benar ikhlas berkawan atau sebaliknya.
“Saya turut menitikberatkan tentang keserasian dan hubungan baik antara keluarga kedua-dua belah pihak,” ujarnya yang turut menafikan pernah mengalami fasa putus cinta dan kemudiannya menyambung kembali hubungan dengan Syatilla seperti didakwa sebelum ini.
Menyenangi keperibadian Syatilla yang tidak hipokrit dan tidak mencampuri urusan orang lain, sifat tersebut juga bagi Shaheizy Sam, mempunyai persamaan dengan dirinya.
POSITIF
Sementara itu ketika ditanya kepada Syatilla mengapa mahu merahsiakan hubungannya dengan Shaheizy Sam, dia memberitahu bimbang dirinya akan dipandang serong sekiranya galak bercerita mengenai hal itu.
Lagipun, katanya, dia belum pasti tentang hujung pangkal hubungannya dengan aktor tersebut.
“Saya memilih untuk menjadikan hubungan saya dengan Sam seperti teka-teki. Saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan.
“Ini kerana lazimnya, wanita yang kerap dipersalahkan masyarakat jika bersikap terbuka tentang soal peribadi. Justeru saya bimbang jika hubungannya itu tidak menjadi kelak dan menjadi bahan yang diperkatakan,” ujarnya.
Mengubah topik tentang kriteria wanita pilihan, kata Shaheizy Sam, dia tidak pernah menetapkan kecantikan sebagai tarikan utama untuk menjadi suri hatinya.
Sebaliknya memberitahu, dia hanya menginginkan seorang wanita ringkas yang selalu berfikiran positif dan berhati mulia.
“Saya tahu fizikal seseorang itu tidak boleh dijadikan pengukur untuk menentukan keindahan hati budinya.
“Buat apa kalau wanita itu cantik tetapi tidak pandai mengambil hati saya dan keluarga. Akhirnya yang cantik itu akan bertukar menjadi buruk,” ujarnya.
Nada yang sama turut dilontarkan Syatilla yang turut mementingkan keperibadian untuk menjayakan sesebuah hubungan cinta.
Bagi Syatilla, dia lebih memandang hati budi berbanding paras rupa yang disifatkan hanya sementara.
“Cukuplah kalau calon suami saya itu seorang lelaki yang memahami dan boleh membimbing saya untuk menjadi Muslimah sejati,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan