Ahad, 27 Oktober 2013

5 Penyanyi wanita terkenal yang gagal di layar perak

Britney Spears, "Crossroads" (2002) 

Dengan kejayaan tiga buah album, "...Baby One More Time", "Oops!... I Did it Again" dan "Britney", single yang menduduki carta satu demi satu dan tiga buah konsert jelajah, pada tahun 2001, Spears menyangka tibalah masanya untuk dia menakluki dunia perfileman pula.
Lalu dia menerima tawaran yang dibuat oleh MTV Films untuk membintangi filem pertamanya, "Crossroads", sebuah filem 'road trip' tentang seorang gadis bernama Lucy yang ditemani dua rakan karibnya Kit dan Mimi (lakonan Zoe Saldana dan Taryn Manning) memulakan perjalanan mencari ibu kandungnya serta mencapai impiannya sebagai penghibur.
Malangnya, sekalipun dengan populariti Spears di pentas persembahan, dia tidak cukup disayangi di layar perak. Filem tersebut gagal, malah Spears dianugerahkan piala Raspberry (atau turut dikenali sebagai Razzie) untuk kategori Pelakon Wanita Paling Teruk, anugerah yang dikongsinya bersama idolanya, Madonna pada tahun yang sama.
Jessica Simpson, "The Dukes Of Hazzard" (2005) 
Daisy Duke merupakan karakter ikonik gadis selatan lakonan Catherine Bach dalam siri televisyen asalnya. Sekalipun siri tersebut mengetengahkan watak Bo dan Luke sebagai peranan utama, Daisy tetap menarik perhatian ramai kerana keseksiannya, sehinggakan jeans pendek yang disarungnya turut dikenali sebagai "Daisy Dukes".
Jadi apabila siri televisyen tersebut ingin diadaptasi menjadi sebuah filem, siapa lagi yang lebih sesuai membawakan watak si gadis seksi Daisy Duke ini kalau bukan seorang lagi gadis selatan tulen, si penyanyi pop bersuara lantang bernama Jessica Simpson. Hanya bentuk tubuh Simpson yang seksi (yang turut diperakui oleh bapanya, Joe... sekalipun pengakuan tersebut agak menjijikkan), yang paling sesuai menggayakan fesyen Daisy Duke.
Malangnya, itu sahaja yang Simpson berjaya lakukan. Selain daripada badannya yang cantik dan sesuai dengan kostum Daisy Duke, dia tidak punya apa-apa lagi. Lakonannya yang kaku tidak membantu, malah meyakinkan lagi pengkritik tetapnya bahawa dia memang gadis berambut perang yang dungu.
Madonna, "Swept Away" (2002) 
Lakonannya dalam "Body of Evidence" dipersoalkan, dan persembahannya dalam "Dick Tracy" tidak mendapat sambutan. Tetapi dia menerima sedikit pujian melalui filem "Evita" dan "Desperately Seeking Susan", jadi Madonna fikir, dia masih punya masa depan dalam bidang lakonan. Apatah lagi bila suaminya sendiri, Guy Ritchie yang mengarahkan filem tersebut. Tidak mungkin suaminya akan membuat dia nampak buruk, bukan?
Gelaran simbol seks Madonna mungkin dapat mentranformasikan persembahannya setiap era, namun ia tidak membantu langsung untuk menyelamatkan premis filem tentang sosialit angkuh yang bertemu cinta dengan seorang kelasi kapal ini. Dengan bajet AS$10 juta (sekitar RM30 juta), filem ini hanya berjaya meraih kutipan tiket lebih kurang AS$600 ribu (sekitar RM1.9 juta).
Dan Madonna meraih gelaran Pelakon Wanita Paling Teruk di Anugerah Raspberry.
Mariah Carey, "Glitter" (2001) 
Sebelum kewujudan Britney Spears, Taylor Swift mahupun Selena Gomez, seorang wanita bersuara merdu dengan kemampuan nada 7 oktaf sudah pun menakluki carta muzik di era awal 90-an. Lagu-lagunya sentiasa menjadi juara carta dan albumnya seringkali disebut sebagai album paling laris.
Selepas kemunculan dalam filem "The Bachelor" pada tahun 1999, Carey membuat keputusan untuk menceburi bidang lakonan dan menjadi teraju utama dalam filem "Glitter", yang berkisar tentang seorang wanita yang bertekad untuk menjadi seorang penghibur. Tidak sukar jika hendak difikirkan, memandangkan Carey sendiri pastinya punya pengalaman yang seakan sama.
Malangnya, itu tidak benar. Dia mungkin penyanyi yang mengagumkan, tapi itu tidak menjadikannya pelakon yang hebat. Malah lakonannya yang teruk membolehkan dia dinamakan Pelakon Wanita Paling Teruk Anugerah Raspberry tahun 2001.
Mujur filem "Precious" menyelamatkan Carey dan dia menerima pujian atas lakonannya sebagai seorang kaunselor pada tahun 2009.
Christina Aguilera, "Burlesque" (2010)
"Burlesque" diwar-warkan sebagai filem kemunculan semula ikon pop, Cher selepas 14 tahun tidak muncul di Hollywood. Malah ia turut dipromosikan sebagai filem yang mempertemukan ikon pop empat dekad itu dengan ikon pop milenium, Christina Aguilera.
Aguilera tidak seperti penyanyi pop yang lain. Dia bukan sahaja pandai menyanyi tetapi juga mampu menggubah lagu dan menerbitkan albumnya sendiri. Dia dikenali kerana mampu menjayakan apa saja sekiranya dia memberikan tumpuan penuh kepada bidang tersebut. Jadi ramai yang tertunggu-tunggu lakonan pertama penyanyi bersuara lantang ini.
Malangnya "Burlesque" tidak lebih dari sebuah filem muzikal kelas C yang mahu meniru kejayaan "Moulin Rouge" dan "Chicago" tapi tanpa arah tuju dan kreativiti. Lakonannya yang tidak memberi inspirasi dan kawalan suaranya yang tidak sesuai untuk sebuah filem muzikal membuktikan bahawa seorag pelakon hebat yang ada sedikit kemampuan vokal lebih berkesan untuk membintangi muzikal berbanding seorang penyanyi hebat dengan bakat lakonan yang tidak seberapa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan