Isnin, 14 Oktober 2013

Wawa Zainal tak perlu rasa takut-David Teo

Penerbit filem terkenal, Mejar (K) David Teo membalas kenyataan yang dilemparkan aktres jelita Wawa Zainal dengan mengatakan Wawa tidak perlu takut kepadanya dan sepatutnya pelakon itu haruslah takut kepada Tuhan sahaja.
"Tidak perlu takut kepada saya, tapi takutlah kepada Tuhan. Perkahwinan adalah perkara yang dituntut agama, lebih-lebih lagi dalam Islam. Jadi apabila perkahwinan ini dirahsiakan, ia akan mengundang kontroversi dan fitnah.
"Saya berkali-kali tanya Wawa dan Aeril mengenai perkara ini, tetapi mereka menafikan dan menjelaskan yang mereka hanya berkawan rapat dan saya tak pernah menghalang mana-mana artis bawah naungan saya berkahwin malah jika mereka mengaku berkahwin kami boleh atur dan taja perkahwinan mereka," ulas David Teo tentang isu pernikahan rahsia Wawa dan Aeril Zafrel seperti dipetik dari Harian Metro.
Dalam pada itu, belum reda isu pernikahan rahsia, timbul kontroversi lain membabitkan Wawa apabila sisipan Bipop kelmarin melaporkan aktres itu masih bergelar tunangan orang apabila berkahwin dengan Aeril.
Menurut tunangnya yang dikenali sebagai Rashid. mereka pernah berjanji untuk berkahwin selepas Wawa habis kontrak dengan syarikat pengurusan Metrowealth, tetapi selepas Wawa bertindak mendiamkan diri dan gagal dihubungi, dia merasakan pelakon filem "Longkai" itu sudah berubah hati.
Jelas Rashid lagi, Wawa pernah menghubunginya meminta agar dia tidak menghebahkan hubungan mereka.
"Wawa hubungi saya kerana mahu saya beritahu adik perempuan saya untuk berhenti sebarkan cerita tentang perkara yang pernah berlaku antara kami di internet dan sesungguhnya saya hairan kenapa Wawa boleh bernikah dengan lelaki yang dia tidak pernah sukai dulu."
Sebelum ini Wawa dan Aeril mengakui telah pun bernikah sebanyak dua kali dan mempunyai seorang anak yang dilahirkan pada Ogos lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan