Khamis, 17 Oktober 2013

Presiden Seniman mahu kontrak MIG dimansuh??

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi mempersoal syarat yang dilihat tidak masuk akal oleh MIG Production
yang menghalang artis naungan mereka tidak boleh bercinta atau berkahwin sehingga telah mencetuskan kontroversi.
"Kontrak itu mengarut. Siapa mereka (MIG) untuk tidak membenarkan orang lain bercinta berkahwin, sedangkan itu fitrah Tuhan," ujarnya kepada Harian Metro yang mengulas kontroversi pelakon Wawa Zainal, 22, dan suaminya, Aeril Zafrel, 25, yang berkahwin secara rahsia.
Zed Zaidi berkata, kontrak tersebut perlu dimansuhkan kerana tidak munasabah kerana tidak wajar mencampur-adukkan antara kerjaya dan hal peribadi.
Tambahnya lagi, beliau akan menemui Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo dalam masa terdekat bagi menggesa syarat tersebut dimansuhkan.
"Kami (SENIMAN) tidak teragak-agak memanjangkan perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Lembaga Buruh Malaysia (LBM)."
Sementara itu, David bersetuju untuk bertemu dengan Zed bagi membincangkan mengenai syarat dan kontrak artis di bawah naungan syarikatnya.
"Kalau Zed mahu berjumpa saya, dipersilakan, pintu rumah saya terbuka 24 jam. Malah, dia perlu tahu kontrak syarikat ini atas budi bicara kerana kalau mahu berlakon sila tandatangan. Kalau tidak mahu, jangan tandatangan, mudah saja."
Pada masa sama, David juga menyangkal tuduhan yang mengatakan syarikatnya melanggar hak asasi manusia.
"Kami tidak pernah meletakkan senapang di atas kepala artis dan memaksa mereka tandatangi kontrak, sebaliknya ia atas kerelaan sendiri."
Jelasnya lagi, sebelum menandatangi kontrak, pihaknya juga memberi penerangan ringan kepada mereka mengenai kontrak itu.
Malah, pihaknya juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Wawa dan menganggap semuanya berakhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan