Isnin, 21 Oktober 2013

Kemunculan kembali Shane Filan di Shout Awards


Anugerah tahunan yang dianjurkan saluran 8TV, Shout! Awards 2013 bakal tampil berbeza daripada sebelumnya dengan membawa bintang pop terkenal iaitu Shane Filan yang juga merupakan vokalis kumpulan popular lewat 1990-an, Westlife.

Shout! Awards 2013 yang sebelum ini dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis K-Pop bakal menyaksikan penyanyi berasal daripada Ireland ini berkongsi pentas dengan artis tempatan.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan NTV7, Airin Zainul, "Ia bukan anugerah biasa kerana ia menyediakan landasan terbaik untuk mengiktiraf bakat kreatif yang memberi impak besar dalam industri hiburan tempatan.
"Kami mahu sentiasa menampilkan kelainan untuk penonton muda dan berusia. Di situlah relevannya kami menjemput Shane, dia cukup popular dalam kalangan peminat boyband dulu dan sekarang."
Tambahnya lagi, pihaknya tidak mahu tampil sama dengan membawa artis K-Pop ke Malaysia.
Dalam pada itu, pencalonan pada tahun ini lebih banyak dan yang menariknya buat pertama kali Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga tercalon dalam kategori Anugerah Selebriti Dalam Talian bersama artis tempatan lain iaitu Aaron Aziz, Adibah Noor, Sofea Jane, Yuna dan keluarga Fatimah Abu Bakar.
Shout! Awards 2013 bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 9 November depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan